Jumaat, 26 April 2019 | 8:23pm
KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Asyraf Nur Mohd Yusof menunjukkan lakaran operasi pencarian dan menyelamat Mohd Danish Mirzan di Sungai Kampung Sahari. - NSTP/Adnan Ibrahim

Operasi dalam air ditangguhkan

SIMPANG RENGGAM: Operasi Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bagi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelajar tahfiz yang dikhuatiri lemas di Sungai Berumbong, Kampung Sahari, di sini, ditangguhkan pada jam 5.25 petang tadi.

Pelajar yang masih hilang ialah Mohd Danish Mirzan Mohd Said, 16, manakala mayat rakannya yang lemas, Muhammad Ammar Mazeni, 13, ditemui pasukan SAR kira-kira dua kilometer dari tempat dilaporkan hilang jam 5.20 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Asyraf Nur Mohd Yusof, berkata operasi PPDA yang membabitkan pencarian di dalam sungai akan disambung semula jam 6.30 pagi esok.

“Hari ini, operasi PPDA dimulakan jam 11 pagi bermula dari lokasi mangsa dipercayai hanyut sehingga ke tempat pemeriksaan terakhir di pintu air Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam.

“Operasi dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan disebabkan keadaan cuaca yang semakin gelap operasi pasukan ini ditangguhkan sementara,” katanya kepada media di sini, petang tadi.

Asyraf berkata, operasi anggota SAR lain di darat termasuk tebing sungai bagaimanapun diteruskan pada waktu malam.

Katanya, beberapa anggota turut ditempatkan di pintu air LRA Simpang Renggam selain pasukannya memasang jaring di situ bagi mengelakkan kemungkinan mangsa hanyut melepasi kawasan pencarian.

Dalam kejadian jam 6.10 petang semalam, kumpulan pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq Gurfan itu mandi di sungai itu sebelum arus menjadi deras secara tiba-tiba menyebabkan dua daripada mereka hanyut.

Berita Harian X