Jumaat, 26 April 2019 | 12:30am
LOKASI dua remaja dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kampung Sari, Simpang Renggam, Johor. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

'Semua ini takdir, bukan salah pihak sekolah'

SIMPANG RENGGAM: “Semua yang berlaku ini sudah ditakdirkan dan bukannya kesalahan pihak pentadbiran sekolah,” kata Mazeni Kasman.

Beliau kehilangan anak ketiganya, Muhammad Ammar, 13, yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kampung Sahari di sini, petang tadi.

Mazeni, 46, berkata walaupun anaknya belum ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), dia dan isteri, Suriyani Khalid, 36, menaruh harapan tinggi agar anak ketiga dari lima beradik itu dapat ditemui.

Katanya, selain Muhamad Ammar, dua lagi anaknya iaitu Muhammad Afiq, 16, dan Muhammad Adib, 15, bersekolah dan tinggal di asrama Sekolah Islam as-Sydiq di Kampung Sahari, sejak beberapa tahun lalu.

“Petang tadi, Muhammad Adib ada telefon saya dan dia cakap suruh ambil dia, abang dan adiknya lewat sikit dan saya ketika itu tidak mengesyaki apa-apa kerana pihak sekolah sebelum itu sudah beritahu untuk bawa pulang anak-anak hari ini (semalam).

“Jadi, saya sempat pergi bermain bola dan selepas itu saya terkejut apabila mendapati banyak nombor yang tidak dikenali menghubungi saya dan terkejut mendapat tahu Muhammad Ammar lemas,” katanya ketika ditemui di sini.

Mazeni berkata, keluarganya terus bergegas ke Sungai Kampung Sahari sejurus mendapat berita itu dan pihak bomba sedang melakukan operasi SAR bagi mencari anaknya dan seorang lagi mangsa, Mohd Danish Mirzan, 16.

“Menurut cerita Muhammad Afiq, dia bersama tujuh lagi rakannya pergi ke sungai untuk mandi dan ketika itu air hanya berada pada paras pinggang sahaja sebelum tiba-tiba arus deras datang dan menghanyutkan mangsa.

“Muhammad Afiq dan Muhammad Adib dapat menyelamatkan diri dan mereka sempat meminta tolong. Sekarang ini saya hanya mampu berdoa agar anak saya dan rakannya itu ditemui, dan sebagai orang Islam, saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, seorang guru sekolah berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihak sekolah sudah memaklumkan kepada semua ibu bapa pelajar untuk mengambil anak masing-masing dan tidak menyangka kejadian malang itu menimpa pelajar sekolah mereka.

“Saya menafikan dakwaan bahawa pelajar ini mandi di sungai berkenaan disebabkan masalah ketiadaan air yang melanda kawasan ini.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan oleh seorang daripada guru sekolah yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian.

“Pelajar ini mandi di sungai tanpa mendapat kebenaran sekolah dan sebelum kejadian, memang hujan agak lebat dan kami tidak sangka mereka pergi ke sungai ini untuk mandi,” katanya.

4871 dibaca
Berita Harian X