Khamis, 25 April 2019 | 9:07pm
SEEKOR buaya seberat 400 kilogram dan sepanjang empat meter berjaya ditangkap Jabatan Bomba dan Penyelamat di Sungai Kampung Sri Paya, dekat Kulai, petang tadi. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

Buaya seberat 400kg ditangkap

KULAI: Seekor buaya seberat 400 kilogram (kg) dan sepanjang empat meter ditangkap anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama penduduk di Sungai Kampung Sri Paya, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang tadi, lapan anggota bomba dengan bantuan 20 penduduk kampung mengambil masa hampir dua jam untuk menangkap dan menaikkan buaya itu ke tebing sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin, berkata buaya berkenaan ditangkap menggunakan tali penyelamat selepas penduduk kampung melihat reptilia itu berkeliaran di sungai terbabit.

“Sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kira-kira jam 10.52 pagi tadi, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kawasan sungai yang sempit dan berlumpur, selain buaya dalam keadaan agresif, menyebabkan proses menangkap reptilia itu mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata, buaya itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) untuk dilepaskan di lokasi lebih sesuai.

3439 dibaca
Berita Harian X