Khamis, 25 April 2019 | 4:22pm
JUNAIDAH menghembuskan nafas terakhir di pangkuan suaminya selepas terbabit nahas di Jambatan Pulau Pinang menghala ke Georgetown, pagi tadi. - NSTP/Ihsan Pdrm

Pangku mayat isteri maut kemalangan

GEORGETOWN: Seorang pembonceng wanita menghembuskan nafas terakhir di pangkuan suaminya selepas terbabit nahas di Jambatan Pulau Pinang menghala ke Georgetown, di sini, pagi tadi.

Junaidah Abdul Rani, 43, maut apabila tercampak dari skuter ditunggang suaminya, Abd Samat Azizan, 55, dalam nahas jam 7.55 pagi yang membabitkan dua lagi motosikal lain.

Kejadian itu sempat dirakam pengguna jalan raya dengan Abd Samat yang juga kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM), kelihatan tenang dan duduk sambil memangku mayat isterinya yang berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata kejadian berlaku apabila skuter dinaiki pasangan itu dipercayai bergesel dengan dua motosikal yang didakwa cuba memotong dari belakang.

“Dua motosikal jenis Honda RS150 serta Yamaha Y15LC yang masing-masing ditunggang seorang lelaki berumur 28 tahun dan wanita berusia 24 tahun dari belakang, dikatakan cuba memotong motosikal mangsa tetapi gagal.

“Sebaliknya, motosikal mereka dipercayai bergesel dengan skuter pasangan suami isteri itu menyebabkan Junaidah tercampak ke jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya dan dua lagi penunggang hanya cedera ringan.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dan mayat Junaidah kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

5221 dibaca
Berita Harian X