Khamis, 25 April 2019 | 11:53am
Keadaan motosikal selepas melanggar kereta polis di Kilometer 64 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Balai Polis Jerangau di sini malam tadi. - Foto ihsan Polis

Lelaki patah paha langgar kereta polis

DUNGUN: Seorang lelaki patah paha kanan selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta polis di Kilometer 64 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Balai Polis Jerangau, dekat sini, malam tadi.

Kejadian pada jam 9.40 malam itu ketika mangsa, Adnan Draman, 42, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Jerangau menghala Jabor.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata dua anggota dari Balai Polis Jerangau dan seorang suspek berusia 30 tahun dalam perjalanan dari arah Jabor menghala ke arah Jerangau selepas mengambil lelaki terbabit di Kampung Dendang.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang datang dari arah bertentangan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian sisi hadapan sebelah kanan kereta berkenaan.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Dua anggota dan suspek tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berita Harian X