Khamis, 25 April 2019 | 2:05am

Kepala terhentak batu, guru tahfiz lemas

KUALA BERANG: Seorang guru tahfiz ditemui lemas selepas tergelincir daripada tebing batu setinggi kira-kira 7.5 meter ketika mandi di kawasan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir di sini, pagi semalam.

Mangsa, Wan Ahmad Faiz Bin Wan Mohamed @ Adnan, 36, yang beralamat di Taman Sri Aman Dalam, Pasir Puteh, Kelantan, disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala akibat terhentak pada batu.

Sebelum kejadian, guru agama sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan itu tiba di kawasan air terjun berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi dengan menaiki rumah bot bersama 18 lagi guru tahfiz dan enam pelajar untuk mengikuti perkelahan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata mangsa bersama beberapa rakan kemudian pergi mandi di kawasan air terjun berkenaan.

“Ketika mereka sedang mandi, seorang rakan mangsa ternampak Wan Ahmad Faiz tergelincir dan jatuh daripada batu di bahagian atas air terjun sebelum terhempas di atas batu di bahagian bawah kawasan rekreasi itu.

“Beberapa rakan mangsa cuba membantu menyelamatkan mangsa dan berjaya mengeluarkannya daripada air, namun Wan Ahmad Faiz didapati sudah meninggal dunia dengan kesan luka di kepala akibat terhentak pada batu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 1.20 tengah hari sebelum seorang pegawai dan enam anggota digerakkan ke lokasi.

“Polis yang tiba di lokasi jam 3.15 petang kemudian membawa mayat mangsa ke Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai tergelincir daripada tebing batu pada ketinggian kira-kira 7.5 meter sebelum terjatuh ke dalam air sedalam kira-kira tiga meter.

“Hasil bedah siasat mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala kerana terhantuk pada batu. Mayat mangsa kemudian dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Mohd Adli berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

2733 dibaca
Berita Harian X