Khamis, 25 April 2019 | 12:14am

Lelaki disyaki bunuh diri

GEORGETOWN: Seorang lelaki disyaki menembak dirinya sendiri dalam kejadian bunuh diri di sebuah rumah dekat Lengkuk Merbah 1, Bayan Lepas, di sini, petang tadi.

Kejadian itu disedari adik mangsa berusia 33 tahun pada jam 2.30 petang tadi apabila beliau menemui jasad abangnya dalam keadaan sudah tidak bernyawa dan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, berkata adik mangsa pergi ke rumah sewa didiami abangnya kerana rasa tidak sedap hati selepas kakaknya mendapat panggilan telefon daripada kekasih abangnya di Australia, memaklumkan bahawa mangsa mahu membunuh diri.

“Apabila sampai di rumah berkenaan, keadaan pintu berkunci dan adiknya memanggil bantuan tukang kunci untuk membuka pintu terbabit.

“Sebaik saja masuk ke dalam rumah itu, adiknya terkejut apabila melihat abangnya sudah meninggal dunia dan terdapat sepucuk pistol berhampiran mayat abangnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah, namun polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengetahui punca mangsa bertindak sedemikian.

Katanya, semakan turut mendapati mangsa mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Mayatnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

1331 dibaca
Berita Harian X