Rabu, 24 April 2019 | 10:23pm
PENGURUS Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi saksi perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

RM64 juta dimasukkan ke akaun peribadi Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu wang berjumlah RM64 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmBank milik Datuk Seri Najib Razak pada 2014 dan 2015.

Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi yang membacakan pernyataan saksi berkata, daripada jumlah itu RM37 juta adalah daripada akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Ihsan Perdana ialah syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk SRC International Sdn Bhd.

Uma Devi berkata, berdasarkan kepada rekod transaksi keluar masuk akaun semasa AmPrivate Najib bernombor 2112022011880 menunjukkan RM27 juta dimasukkan ke akaun itu pada 8 Julai 2014.

Saksi ke-21 pendakwaan itu berkata, jumlah sama (RM27 juta) dimasukkan ke dalam akaun milik Najib pada 26 Disember 2014 daripada akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Katanya, syarikat Ihsan Perdana turut memindah masuk RM10 juta lagi ke dalam akaun Najib pada 10 Februari 2015.

Bagi rekod pemindahan keluar pula, Uma Devi berkata, wang berjumlah RM20 juta dipindah keluar dan daripada jumlah itu, RM10 juta dimasukkan ke dalam satu lagi akaun semasa AmPrivate milik Najib bernombor 2112022011906 pada 8 Julai 2014.

Saksi itu menjelaskan, RM3 juta pula dipindah keluar daripada akaun itu dengan RM1 juta dimasukkan ke dalam akaun semasa Najib bernombor 2112022011898, manakala RM2 juta dimasukkan ke dalam 2112022011906.

“Melalui surat arahan pindahan oleh Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, pada November 2014, mengarahkan wang berjumlah hampir RM449,586.95 daripada RM3.3 juta dalam akaun Ambank Najib dipindah keluar dan dikreditkan kepada kad kredit Visa Platinum.

Selebihnya, iaitu RM2,833,147.21 dikreditkan kepada kad kredit Master Card Platinum.

“RM27 juta pula dipindah keluar ke syarikat Permai Bina Raya Sdn Bhd pada 29 Disember 2014 melalui arahan pindahan daripada Najib sendiri. RM10 juta dipindah keluar pada 10 Februari 2015 kepada akaun AmPrivate Najib bernombor 2112022011906,” katanya.

Terlebih dahulu, Uma Devi mengesahkan bahawa Najib memiliki dua akaun simpanan di Ambank bernombor 2110020090481 dan akaun semasa 2112022009694, masing-masing ditutup pada 30 Ogos 2013.

Saksi itu berkata, Najib juga memiliki tiga akaun semasa, iaitu AmPrivate Banking - 1MY, iaitu 2112022011880, 2112022011898 dan 2112022011906 yang dibuka pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada 9 Mei 2015.

“Nik Faisal dilantik sebagai individu yang dibenarkan menguruskan akaun Najib di Ambank tanpa perlu merujuk kepada mana-mana akaun secara khusus, mengambil buku cek dan penyata akaun, surat kebenaran ambil buku cek dan penyata akaun.

“Najib keluarkan surat arahan bagi memberikan kebenaran itu kepada Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan untuk membolehkan Nik Faisal mengeluarkan cek bernilai lebih RM250,000 dengan akaun sama diberi kemudahan untuk mengeluarkan cek,” katanya.

Sementara itu, Uma Devi turut mengesahkan bahawa RM4 bilion dipindah masuk ke dalam akaun semasa SRC International di antara Ogos 2011 dan Mac 2012.

Katanya, daripada jumlah itu RM2 bilion dipindah masuk ke dalam akaun SRC International pada 29 Ogos 2011 melalui empat transaksi, manakala RM2 bilion lagi dikreditkan pada 28 Mac 2012.

Berita Harian X