Rabu, 24 April 2019 | 9:18pm
MOHD Faizal Nordin maut selepas motorsikal ditunggangnya bergesel sebelum digilis sebuah lori tangki di Kilometer 5 Jalan Kota Bharu - Pengkalan Kubor, tengah hari tadi. - Foto Ihsan Pembaca

Maut digilis lori tangki

TUMPAT: Seorang pekerja pasar raya maut selepas digilis sebuah lori tangki di Kilometer 5 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa, Mohd Faizal Nordin, 33, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata mangsa dalam perjalanan dari Wakaf Bharu ke Kota Bharu menunggang motosikal jenis Yamaha Ego.

“Ketika tiba di lokasi, mangsa dipercayai cuba memotong lori tangki berkenaan, namun motosikalnya bergesel dengan kenderaan berat terbabit.

“Motosikal mangsa kemudian hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan dan pada masa sama, tayar belakang lori tangki menggilis mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Mangsa yang beralamat di Kampung Pintu Geng, Kota Bharu dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

Ab Rashid berkata, punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.

Kes disiasat di bawah di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X