Rabu, 24 April 2019 | 4:04pm
SEPASUKAN anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga asing yang berusia 21 hingga 34 tahun yang didapati mereka tidak memiliki pas kerja serta dokumen perjalanan yang sah sempena Ops Bersepadu (Kutip dan Gegar) membabitkan empat lokasi di sekitar Kota Bharu. - Foto ihsan Imigresen Kelantan

Pemilik kedai makan bergelut dengan Imigresen

KOTA BHARU: Seorang pemilik sebuah kedai makan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan atas kesalahan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI), di sebuah kedai makan di Berek 12, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan di kedai makan itu, Imigresen turut menahan empat wanita dan tiga lelaki warga Thailand berusia dalam lingkungan 21 hingga 34 tahun yang bekerja di premis itu.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kelantan, Ruzaana Mohamed, berkata ketika pemeriksaan dibuat terhadap lelaki tempatan berusia 45 tahun itu, berlaku sedikit kekecohan apabila suspek tidak memberikan kerjasama.

“Pemilik kedai makan itu membuat provokasi terhadap kami ketika diminta menunjukkan kad pengenalan.

“Dia turut mengeluarkan kata-kata kasar dan berlaku sedikit pergelutan ketika ditahan untuk dibawa ke pejabat Imigresen.

“Laporan polis turut dibuat terhadap suspek kerana cuba menghalang tugas penjawat awam. Lelaki itu juga dikenakan tindakan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ruzaana berkata, meskipun sedar bakal berdepan dengan tindakan undang-undang, masih ramai majikan yang menggaji warga asing yang tidak memiliki pas kerja serta dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, dalam operasi yang bermula jam 9 hingga 11.30 malam itu, keseluruhan PATI yang ditahan adalah seramai 14 orang iaitu membabitkan empat lokasi di sekitar Kota Bharu.

“Mereka ditahan di bawah Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan salah guna pas.

“Semua PATI itu kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X