Isnin, 22 April 2019 | 7:49pm
Seorang pelancong, Lai Jun Hong (gambar kecil), 22, dari Taman Molek, Johor Bahru, Johor lemas ketika menyelam snorkeling di Pulau Rawa dekat Pulau Perhentian, jam 10.30 pagi tadi.- Foto ihsan PDRM

Pelancong lemas snorkeling di Pulau Rawa

BESUT: Seorang pelancong dipercayai lemas ketika melakukan kegiatan menyelam snorkeling di Pulau Rawa berhampiran Pulau Perhentian pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, mangsa, Lai Jun Hong, 22, dari Taman Molek, Johor Bahru, Johor sedang menyelam snorkeling untuk menikmati keindahan laut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata mangsa mandi bersama empat yang lain apabila tiba-tiba didapati lemas.

Menurutnya, mangsa memakai jaket keselamatan ketika melakukan kegiatan menyelam itu.

“Kejadian disedari oleh pemandu bot yang berada di kawasan itu, lalu memaklumkan kepada pemandu bot lain.

“Mereka berusaha memberi bantuan kecemasan kepada mangsa sepanjang perjalanan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian. Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di klinik itu jam 12.20 tengah hari,” katanya.

Mohd Zamri berkata mayat mangsa di bawa ke Jeti Kuala Besut sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Jertih untuk bedah siasat jam 3 petang.

Menurut sumber yang enggan dikenali, mangsa difahamkan pergi bercuti seorang diri ke Pulau Perhentian.

Berita Harian X