Isnin, 22 April 2019 | 5:35pm

Lelaki Thailand tegur kerja rakan dibunuh

SEREMBAN: Lelaki warga Thailand maut dikelar di leher dengan pisau pemotong sayur oleh rakan senegara di sebuah kedai makan di Taman Bukit Emas, Rahang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, mangsa berusia 24 tahun diserang suspek berusia 19 tahun yang bekerja di kedai makan yang sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak, berkata sebelum pergaduhan, suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang menegurnya mengenai tugas di tempat kerja.

“Berlaku pergaduhan di belakang dapur dan suspek mengambil sebilah pisau pemotong sayur lalu mengelar leher mangsa.

“Adik mangsa bersama beberapa pelanggan kedai makan yang berada di lokasi kejadian terus menangkap suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rosli berkata, suspek dan senjata yang digunakan ketika kejadian diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SUSPEK lelaki warga Thailand berusi 19 tahun ditahan selepas mengelar rakan sekerja dalam kejadian pergaduhan di sebuah kedai makan di Taman Bukit Emas, Rahang. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X