Isnin, 22 April 2019 | 3:26pm

Timbalan Pengarah JKNS, dua isteri berdepan 23 pertuduhan AMLA

KOTA KINABALU: Timbalan Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) bersama dua isterinya dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas 23 pertuduhan memiliki wang hasil aktiviti haram dengan nilai keseluruhan RM2.199 juta.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Ismail Ahmad, 58; isteri pertamanya, Muhilim @ Masniah Buaya, 58, dan isteri keduanya, Runtiah Rais, 42, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Ismail yang juga tertuduh pertama didakwa atas lapan pertuduhan secara individu, selain masing-masing tiga dan dua pertuduhan secara bersama dengan isteri pertama dan keduanya.

Isteri pertama tertuduh yang juga seorang pegawai kanan di agensi Kerajaan Sabah turut berdepan tiga pertuduhan secara individu, manakala isteri keduanya yang bekerja sebagai kerani di JKNS berdepan tujuh pertuduhan secara individu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dan dibebaskan dengan wang jaminan RM100,000 (tertuduh pertama), manakala masing-masing RM50,000 bagi tertuduh kedua (isteri pertama) dan ketiga (isteri kedua).

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Wotti Junius.

Mahkamah menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen berkaitan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pertama didakwa memiliki wang dalam empat akaun bank dan satu akaun Amanah Saham Wawasan (ASW) miliknya berjumlah RM766,807.12 serta RM378,191.63 dalam tiga akaun ASW individu di bawah jagaannya.

Bagi pertuduhan bersama isteri pertamanya, mereka berdua didakwa memiliki wang dalam tiga akaun bank berjumlah RM204,052.01, manakala bagi pertuduhan bersama isteri kedua, kedua-dua mereka didakwa memiliki wang dalam dua akaun bank berjumlah RM49,097.73.

Sementara itu, dalam pertuduhan secara individu terhadap Muhilim (isteri pertama), dia didakwa memiliki wang dalam tiga akaun bank berjumlah RM83,653.29.

Runtiah pula didakwa secara individu memiliki dua akaun bank dan satu akaun Tabung Haji milik sendiri yang di dalamnya mengandungi wang RM162,068.72, manakala empat akaun ASW individu di bawah jagaannya berjumlah RM302,721.53.

Ketiga-tiga tertuduh ditahan SPRM semalam dan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan pasport ketiga-tiga tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain melapor diri di pejabat SPRM Sabah sekali sebulan sehingga perbicaraan kes selesai dan dilarang mengganggu atau menghubungi saksi.

Pada Februari tahun lalu, Ismail bersama dua lagi pegawai JKNS direman SPRM berhubung siasatan projek penyelenggaraan dan kecemasan kereta api kepada 27 syarikat sejak tahun 2011 atas dakwaan menerima suapan berjumlah lebih RM3 juta.

Berita Harian X