Isnin, 22 April 2019 | 9:14am
BUNGKUSAN plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan putih disyaki dadah dan penimbang digital yang dirampas polis di Kampung Bukit Kechil. - Foto ihsan PDRM

Tak padan dengan kaki patah

PENDANG: Seorang warga emas yang belum pulih daripada kecederaan patah kaki kiri, ditahan polis dalam perjalanan menjual dadah di Kampung Bukit Kechil di sini, pagi semalam.

Lelaki berusia 60 tahun yang dipercayai pengedar dadah jenis heroin itu ditahan pada jam 9 pagi di tepi jalan selepas kenderaan jenis dipandunya dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata pemeriksaan pihaknya menemui satu bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan putih disyaki dadah seberat 225 gram.

“Dadah itu ditemui di kiri tempat duduk pemandu dan polis turut menjumpai alat penimbang digital dipercayai digunakan untuk menimbang dadah berkenaan pada pelapik kaki pemandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arriz Sham berkata, suspek ditahan manakala dadah bernilai RM6,750 itu dirampas untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan siasatan, katanya, suspek yang juga penduduk tempatan, memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Berita Harian X