Ahad, 21 April 2019 | 11:05pm
Keadaan kenderaan yang membabitkan mangsa, Ahmad Tajudin Zahalan (gambar kecil) maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 6 Jalan Kuala Pilah - Batu Kikir berhampiran Kampung Pelangai. - Foto Amran Yahya

Maut selepas kenduri

KUALA PILAH: Seorang pemandu peribadi maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh kereta di Kilometer 6 Jalan Kuala Pilah - Batu Kikir berhampiran Kampung Pelangai, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 5.20 petang itu, mangsa Ahmad Tajudin Zahalan, 39, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Difahamkan dia yang menunggang motosikal jenis Suzuki Panther dalam perjalanan ke Kuala Lumpur setelah menghadiri kenduri kahwin di Air Hitam, Jempol dan bertembung dengan kereta PROTON Gen2 dari arah Kuala Pilah.

Pemandu PROTON Gen2, Mohd Razali Mohd Tahir, 62, berkata dia dalam perjalanan pulang ke FELDA Pasoh 1 selepas menjemput adiknya dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

“Sebelum kejadian, sekumpulan motosikal yang bergerak secara konvoi datang dari arah bertentangan yang dipercayai rakan arwah.

“Bagaimanapun, arwah yang berada di kumpulan kedua cuba memotong sebuah kereta di hadapannya lalu bergesel dengan kereta terbabit, sebelum hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta saya.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya cuba mengelak ke kiri jalan, namun gagal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Haslah Bachok ketika dihubungi mengesahkan kejadaian dan jenazah mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HTAN.

Haslah berkata, polis masih menyiasat punca kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

3692 dibaca
Berita Harian X