Ahad, 21 April 2019 | 9:05pm
Che Man bimbang dengan ancaman harimau yang sudah membaham dua ekor lembunya di FELDA Kerteh 5. - NSTP/Rosli Ilham

Kemunculan harimau: Sanggup tidur dalam kandang lembu

DUNGUN: “Bimbang dengan kehadiran harimau yang sudah banyak kali membaham lembu penternak, saya ambil keputusan tidur dalam kandang lembu semalam.

“Kira-kira jam 3 pagi, saya bangun dan suluh lampu di luar kandang dan alangkah terkejutnya bila ternampak seekor harimau belang setinggi motosikal memandang ke arah saya,” kata Putera Ibrahim, 37, dari FELDA Kerteh 5 di sini.

Putera berkata, dia memberanikan diri menghalau harimau itu dan selepas 15 minit berbuat demikian, barulah haiwan berkenaan berlalu pergi dari kawasan ternakannya itu.

“Hanya Allah yang tahu betapa gerunnya saya ketika itu, tapi mujurlah tiada apa-apa berlaku dan saya harap pihak PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Teman Negara) dapat buat sesuatu,” katanya.

Difahamkan, seramai 30 penternak di tanah rancangan itu resah dengan kehadiran kumpulan harimau yang membaham lembu mereka.

Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 10 ekor lembu menjadi mangsa haiwan liar itu yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian kira-kira RM20,000.


Che Man (kiri) menunjukkan kesan tapak kaki harimau yang menceroboh kandang lembunya. - NSTP/Rosli Ilham

Seorang lagi penternak, Che Man Abdullah, 58, berkata, tahun ini sudah dua ekor lembunya menjadi mangsa dan kejadian terbaru berlaku pada Jumaat minggu lalu.

“Saya ke kandang pagi itu dan mendapati lembu berharga RM1,500 mati diheret ke luar kandang dan sebahagian badan lembu habis dimakannya.

“Keesokan harinya, harimau itu datang lagi dan memakan habis saki baki lembu itu. Saya percaya harimau itu sangat besar berdasarkan kesan tapak kakinya yang lebar,” katanya.

Che Kaswadinata Abdullah, 56, berkata, selain seekor lembunya yang besar, dua lagi anak lembu miliknya menjadi mangsa.

“Kejadian itu berlaku bulan lalu dan disedari apabila saya mengesan satu tapak kaki besar serta dua kesan tapak kaki harimau kecil.

“Saya percaya ibu harimau itu membaham dua anak lembu untuk mengajarkan anaknya cara membunuh haiwan itu,” katanya.

Mohamad Mat Amin, 61, pula berkata, ketika memberi makan lembunya di kandang pagi semalam, dia terdengar ngauman kuat harimau di kawasan hutan berhampiran.

“Hampir 25 minit harimau itu mengaum dan setahu saya, kebiasaannya ia berbuat demikian akibat lapar atau mencari pasangan untuk mengawan.

“Gerunnya ketika itu dan dalam ketakutan, saya tutup pintu kandang dan pecut motosikal untuk pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, sepanjang empat tahun kebelakangan ini, hampir 50 lembu milik 30 penternak di situ menjadi mangsa harimau.

“Saya percaya harimau di kawasan itu melebihi lima ekor dan kami kini bukan saja bimbang ternakan menjadi mangsa malah keselamatan kami penternak di sini,” katanya.

4454 dibaca
Berita Harian X