Ahad, 21 April 2019 | 3:55pm

Penduduk jumpa tulang panjang, lapan serpihan tulang

IPOH: Penduduk kampung yang melakukan pencarian Mohamad Ashraf Hassan, 29, menemui tulang panjang dan serpihan dipercayai tulang lama di dalam Gua Kandu, Gopeng, kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata pihak forensik sudah mengambil serpihan tulang itu dan dibawa untuk ujian patologi kimia bagi mendapatkan pengesahan selanjutnya.

“Memang betul penduduk ada menemui satu tulang panjang seakan tulang betis dan lapan serpihan berukuran lebih kurang enam ke lapan inci (15 sentimeter (cm) ke 20cm) di dalam Gua Kandu, kesemua tulang itu sudah diambil untuk dianalisis.

“Hanya tulang itu sahaja ditemui dan kita tidak menemui tengkorak atau rangka lain di lokasi itu, setakat ini kita belum boleh mengesahkan apa-apa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata, selepas dianalisis dan jika disahkan ia adalah tulang manusia, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dijalankan untuk memadankannya dengan DNA Mohammad Ashraf dan ahli keluarganya.

Menurutnya, setakat ini tulang yang ditemui itu dipercayai adalah tulang lama dan carian dijalankan pihak forensik tidak menemui sebarang tulang lain di lokasi berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan atau lebih mesra dipanggil Acap itu ditangguhkan sementara Rabu lalu bagi memberi peluang kepada penduduk meneruskan usaha itu.

Acap dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu selepas tidak sampai ke garisan penamat ketika menyertai larian itu sebelum rakannya membuat laporan polis mengenai kehilangan Juruteknologi Makmal di Klinik Kesihatan Daerah Muar itu.

SAR kemudiannya dijalankan pada 24 Mac lalu namun gagal menemui sebarang petunjuk mengenai kehilangannya itu sebelum Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangguhkannya sementara Rabu lalu.

Berita Harian X