Sabtu, 20 April 2019 | 11:18am

Remaja maut motosikal rempuh kenderaan pacuan empat roda

GUA MUSANG: Seorang remaja maut apabila motosikal ditunggang terbabit nahas dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 19 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 8 malam, Syafiq Aiman Mohd Noor, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan dikatakan tiba-tiba membelok ke simpang kanan.

“Susulan itu, mangsa dipercayai tidak sempat menekan brek lalu merempuh kenderaan itu. Mangsa yang parah di kepala dan badan, maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk pengebumian pagi ini.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal tidak memiliki lesen memandu. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

344 dibaca
Berita Harian X