Jumaat, 19 April 2019 | 11:42pm

Pekerja kedai emas mati ditembak perompak

SERDANG: Seorang pekerja kedai emas mati ditembak salah seorang dari tiga lelaki yang merompak sebuah kedai emas di tingkat bawah, Pasar Raya Besar Giant, di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.13 malam itu, empat suspek lelaki dipercayai warga tempatan bersenjatakan pistol menaiki dua buah motosikal berhenti di hadapan pintu utama sebelum tiga daripada mereka yang memakai topi keledar berpenutup penuh (full face) menuju ke arah kedai emas di tingkat bawah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata semasa kejadian terdapat tiga pekerja iaitu dua lelaki dan seorang wanita dalam kedai berkenaan.

“Suspek kemudian mengarahkan pekerja membuka laci rak pamer barang kemas serta menyerahkan semua barang kemas dalam rak berkenaan.

“Pada masa sama, salah seorang pekerja yang enggan menuruti arahan perompak dan keluar masuk pejabat kedai emas berkenaan, ditembak pada bahagian dada oleh suspek,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata, selepas dua minit berada dalam kedai emas itu, suspek kemudian melarikan diri bersama empat dulang barang kemas.

“Mangsa yang berusia 28 tahun dan bekerja di kedai emas berkenaan sejak tiga tahun lalu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pada masa ini pihak polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai emas berkenaan serta lokasi berhampiran dalam proses mengenalpasti suspek,” katanya.

Fadzil berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada saksi kejadian dan orang ramai bagi membantu siasatan.

Sementara itu, pengurus kedai emas berkenaan yang enggan dikenali, memberitahu pekerjanya yang terbunuh berasal dari Teluk Intan, Perak dan sebelum ini pernah bertugas di cawangan kedai emas yang sama di Teluk Intan.

Katanya, setakat ini kerugian yang dialami dianggarkan berjumlah RM200,000.

4530 dibaca
PENYELIA kedai emas di pasar raya Giant, Bandar Putra Permai ditembak mati salah seorang daripada 3 lelaki.
Berita Harian X