Jumaat, 19 April 2019 | 7:29pm
REMAJA perempuan mengalami patah pinggang dan kaki selepas terjun dari tingkat tiga tempat parkir sebuah pangsapuri di Taman Sri Saujana Gat Lebuh Macallum, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM
REMAJA lelaki mengalami cedera ringan selepas terjun dari tingkat tiga tempat parkir sebuah pangsapuri di Taman Sri Saujana Gat Lebuh Macallum, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

Kekasih terjun bimbang keluarga tahu hubungan cinta

GEORGETOWN: Bimbang hubungan cinta diketahui ibu dan bapa, dua remaja membahayakan diri dengan lari dan terjun dari tingkat tiga tempat parkir sebuah pangsapuri di Taman Sri Saujana Gat Lebuh Macallum, di sini, awal pagi tadi.

Tindakan itu menyebabkan remaja perempuan berusia 14 mengalami patah pinggang dan kaki manakala teman lelakinya berusia 18 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.07 pagi.

“Hasil siasatan dan temubual mangsa mendapati kedua-dua mereka tergelincir dan terjatuh dari tingkat tiga ketika meniti di tepi tembok bangunan untuk keluar dari kawasan itu kerana pintu di dalam bangunan sudah dikunci oleh pengawal keselamatan.

“Temu bual bersama ibu bapa mangsa perempuan pula mendedahkan sebenarnya kedua-dua mangsa terlalu takut aktiviti tidak sihat diketahui keluarga, apatah lagi anak mereka di bawah umur dan berikutan itu kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk terjun selepas tidak dapat membuka pintu laluan tempat letak kenderaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zaimani berkata, remaja lelaki itu terjun di atas rimbunan pokok manakala kekasihnya terus terjun di atas jalan sehingga menyebabkan kecederaan lebih teruk.

Katanya, kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

4770 dibaca
Berita Harian X