Jumaat, 19 April 2019 | 7:23pm
KEBAKARAN yang berlaku di kilang kitar semula plastik, Green Mark Technology Group Sdn Bhd di Jalan Bakar Arang, awal pagi semalam. - Foto ihsan bomba

Khianat dipercayai punca kilang kitar semula terbakar

SUNGAI PETANI: Kebakaran yang berlaku di kilang kitar semula plastik, Green Mark Technology Group Sdn Bhd di Jalan Bakar Arang di sini, awal pagi semalam disyaki perbuatan khianat.

Pengurus Besarnya, M Thangarajoo, berkata pihaknya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan dua kebakaran yang berlaku di stor kilang yang terletak kira-kira 50 meter dari kilang itu pada 1 dan 8 April lalu.

“Dalam kejadian pertama, ia mengakibatkan kemusnahan bahan mentah bernilai RM200,000 dipercayai akibat dibakar.

“Manakala kejadian kedua, pihak kami sendiri melihat terdapat individu membaling botol mempunyai sumbu di hadapan pagar stor sama, namun kebakaran itu sempat dipadamkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 4.30 pagi semalam, sebuah kilang memproses bahan kitar semula musnah dalam kebakaran, dengan pihak bomba mengambil masa lebih lima jam bagi memadamkan api.

Thangarajoo berkata dalam kejadian yang memusnahkan 50 peratus kawasan kilang berkeluasan kira-kira empat hektar itu semalam, pengawal keselamatan kilang sempat melihat kelibat dua individu yang tidak dikenali di dalam kawasan kilang.

“Mereka dipercayai masuk melalui pagar belakang kilang yang didapati dipotong pada hari kejadian.

“Kami rugi kira-kira RM11 juta akibat kerosakan yang berlaku pada 18 mesin memproses resin selain turut memusnahkan enam kontena mengandungi produk siap yang sepatutnya dieksport ke China hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Thangarajoo berkata pihaknya percaya insiden itu berpunca daripada provokasi yang dilakukan oleh pihak tertentu sejak tahun lalu.

“Pihak terbabit pernah mengeluarkan surat tuduhan menyatakan kilang kami beroperasi secara haram dan menyebabkan berlakunya pencemaran di kawasan sekitar.

“Ini adalah tuduhan palsu kerana kami mempunyai lesen yang sah sejak mula beroperasi iaitu pada 2012 sehingga kini dan kami turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

610 dibaca
Berita Harian X