Jumaat, 19 April 2019 | 11:32am
Anggota AADK Kerian menunjukkan peralatan menghisap dadah yang ditemui di bawah tempat duduk sebuah lori muatan plastik dalam Ops Halangan yang dijalankan di R&R Gunung Semanggol. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Mohd Izzarie (tengah) menahan lima pemandu dan kelindan lori dalam Ops Halangan di R&R Gunung Semanggol. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

5 pemandu, kelindan lori positif dadah

BAGAN SERAI: Lima pemandu dan kelindan lori diberkas dalam Ops Halangan yang dijalankan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di sini, malam tadi.

Kesemua lelaki berusia 21 hingga 34 tahun itu ditahan selepas ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka mendapati positif dadah jenis syabu.

Operasi bersepadu bermula 9 malam dan tamat 12 tengah malam itu membabitkan 59 anggota dan 10 pegawai dari Unit Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara Bukit Aman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Turut membantu pihak Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Inspektor Operasi Lebuhraya, EMPV Zon Utara 3, Inspektor Mohd Izzarie Shafie, yang mengetuai operasi berkata, hasil operasi itu sebanyak 26 saman dikeluarkan pihaknya, manakala JPJ sebanyak 14 saman dengan lapan lori ditimbang berat dan empat notis arah periksa semula.

Menurutnya, lima pemandu dan kelindan lori yang positif dadah itu pula ditahan AADK serta disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998 selain pemeriksaan turut menemui peralatan menghisap syabu dalam sebuah lori yang diperiksa.

“Ops ini lebih tertumpu kepada bentuk-bentuk halangan dari kenderaan berat seperti kayu penyendal dan pada malam ini sebanyak 80 batang kayu yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lebuh raya dikeluar serta dirampas dari 50 lori yang diperiksa.

“Lima saman juga dikenakan terhadap pemandu lori atas kesalahan ikatan tidak kemas dan membawa muatan secara merbahaya,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi dijalankan di sini hari ini.

Mohd Izzarie berkata, sejak Januari lalu sebanyak lima kematian direkodkan pihaknya di sepanjang laluan lebuh raya dari Seberang Perai Selatan ke Plaza Tol Ipoh Utara akibat kemalangan yang disebabkan melanggar objek halangan seperti kayu yang bertaburan di atas jalan.

“Operasi sebegini akan diteruskan bagi memastikan pemandu kenderaan berat mematuhi undang-undang yang ditetapkan selain sebagai usaha mengurangkan kadar kematian di lebuh raya akibat dari kecuaian pemandu kenderaan berat ini,” katanya.

465 dibaca
Berita Harian X