Khamis, 18 April 2019 | 8:43am
Anggota polis memeriksa sebahagian bungkusan daun ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah kuarters guru di FELDA Sungai Tiang. - Ihsan PDRM

Lelaki ditahan bersama 270kg ketum

PENDANG: Seorang lelaki ditahan polis ketika sedang leka mengisi daun ketum ke dalam bungkusan plastik hitam di kuarters guru FELDA Sungai Tiang, di sini, semalam.

Dalam serbuan pada jam 4.30 pagi itu, suspek berusia 31 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kegiatan suspek hasil dari maklumat awam dan intipan.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam rumah menemui alat timbang dan 26 bungkusan plastik berisi daun ketum dipercayai untuk dijual ke pasaran tempatan.

“Jumlah berat kasar daun ketum yang dirampas adalah 270 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM8,100.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas lelaki itu juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, lelaki terbabit menceroboh rumah di kuarters guru yang tidak berpenghuni sebelum melakukan kegiatannya bagi mengelak dikesan orang ramai.

Arriz Sham berkata, suspek yang sudah berkahwin menetap di kuarters terbabit bersama keluarganya dan berkerja sebagai peniaga.

“Lelaki berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan menjual daun ketum itu untuk mengaut keuntungan dengan jalan mudah.

“Semakan rekod mendapati dia memiliki enam rekod jenayah berkaitan kes dadah dan ketum dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3)Akta Racun 1952,” katanya.

621 dibaca
Berita Harian X