Rabu, 17 April 2019 | 8:31pm

Operasi SAR Zahir disambung esok

BANGI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah di sebuah pangsapuri di Bandar Seri Putra, di sini, kelmarin, ditangguhkan jam 7.30 malam tadi.

Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, disedari hilang oleh ibunya, Sainih Sunding, 46, ketika dia pulang ke rumah selepas balik dari kerja kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Operasi yang disertai kira-kira 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis bermula jam 5.40 petang tadi di Sungai Semenyih, kira-kira 300 meter dari kediaman kanak-kanak itu.

Ketua BBP Bangi, Rosman Majid, berkata sembilan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.


Anggota Bomba dan Penyelamat bersama Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi , 8, di sekitar 7km Sungai Semenyih. - Foto Mohd Yusni Ariffin

“Pencarian bermula di lokasi kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa serta di sekitar Sungai Semenyih sejauh tujuh kilometer hingga ke kawasan perangkap sampah.

“Sebelum itu, anggota bomba berdepan sedikit kesukaran untuk menurunkan bot bomba kerana saiznya yang besar dan keadaan dasar sungai yang agak cetek.

“Kami bekerjasama dengan pihak APM dengan menggunakan sebuah bot mereka dalam operasi ini, saiz bot mereka lebih sesuai untuk menyusuri sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Rosman berkata, operasi akan disambung semula seawal jam 9 pagi esok.

“Esok kita akan gunakan semua elemen yang berkaitan seperti Unit K9 Bomba dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

“Kekuatan logistik juga akan mula digerakkan esok,” katanya

902 dibaca
Anggota Bomba dan Penyelamat bersama Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, di sekitar 7km Sungai Semenyih. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X