Rabu, 17 April 2019 | 10:34am
Operasi mencari dan menyelamat Mohammad Ashraf ditangguhkan sementara bermula hari ini.

SAR Acap dihentikan sementara mulai hari ini

IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang memasuki hari ke-26 selepas dilaporkan hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac lalu, ditangguhkan sementara bermula hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata penangguhan sementara itu adalah bagi mengehadkan pergerakan pencarian oleh orang ramai di kawasan berkenaan dan memberi ruang kepada penduduk setempat melaksanakan tindakan mengesan mangsa.

Katanya, penangguhan sementara itu juga disebabkan tiada petunjuk baru ditemui setakat ini sepanjang SAR dijalankan oleh pasukan penyelamat dan siasatan.

“Mangsa masih tidak ditemui walaupun SAR sudah menggunakan pelbagai kaedah terkini oleh pasukan yang berpengalaman selain perluasan kawasan pencarian dari 35 kilometer persegi kepada 48 kilometer persegi.

“Penangguhan sementara ini akan membolehkan pasukan penyelamat merangka strategi lain yang mungkin boleh membantu mengesan mangsa berdasarkan kepada pengalaman kes seumpama ini yang pernah berlaku pada masa lepas,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Razarudin berkata, SAR peringkat pertama dimulakan sehari selepas mangsa didapati hilang sehingga 30 Mac lalu sebelum ia diteruskan dengan peringkat kedua sehingga semalam dengan memperluaskan kawasan operasi kepada 48 kilometer persegi.

“Dalam meneruskan usaha pencarian (peringkat kedua), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuka pusat operasi bomba di Kampung Pintu Padang selepas Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup pada jam 1 tengah hari, 30 Mac lalu.

“Bagaimanapun, dari tempoh berkenaan sehingga ke hari ini, tiada petunjuk baru dapat dikesan atau diperoleh oleh pasukan pencari bagi merungkai kehilangan mangsa,” katanya.

1582 dibaca
Berita Harian X