Selasa, 16 April 2019 | 6:34pm
BEKAS Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid (dua dari kanan) hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

Adib separa sedar ketika diserang

SHAH ALAM: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim mungkin berada dalam keadaan separa sedar ketika diseret selepas ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pada awal pagi 27 November lalu.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof Dr Shahrom Abd Wahid, berkata keadaan itu berlaku atas dua faktor iaitu Muhammad Adib terkejut dengan serangan itu atau mangsa sedang mengalami kesakitan yang teramat selepas dihentam van EMRS.

“Yang ini (separa sedar) boleh merangsang saraf vagus dan mempercepatkan degupan jantung.

“Mungkin dia sedar ketika ditarik, bergerak tetapi dia tidak melawan meronta-ronta. Tiada reaksi,” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner pada hari ke-27 prosiding inkues dijalankan.

Saksi ke-29 itu berkata, Muhammad Adib diseret dan bukti itu terdapat di bahagian punggung seluar celoreng dipakai anggota bomba itu.

Katanya, kesan debu kotoran yang melekat pada seluar juga boleh membuktikan mangsa diseret.

Saksi berkata, jika Muhammad Adib tidak ditarik dan dalam keadaan duduk sahaja, tidak akan ada kesan geseran tetapi jika duduk sambil ditarik, kesan geseran akan kelihatan.

Dia yang memeriksa eksibit I45 iaitu seluar celoreng yang dipakai Muhammad Adib ketika kejadian turut membuktikan anggota bomba itu diseret berdasarkan bukti yang ada pada seluar berkenaan.

“Lihat seluar, ada kotoran dan kesan seretan. Fabrik juga berbulu-bulu dan ada benang jahitan putus,” katanya.

Saksi sama berpendapat, Muhammad Adib seolah-olah tidak bertindak kerana mangsa mungkin menjangkakan dirinya tidak diserang.

“Mangsa ingat orang ramai yang menuju ke arahnya tidak akan berbuat apa-apa (serangan) kerana kemungkinan untuk bomba diserang tiada. Namun tiba-tiba orang ramai itu merentap mangsa,” katanya.

Terdahulu, sebelum prosiding bermula, peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor mencadangkan supaya Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi tidak duduk bersama dengan barisan Pegawai Pengendali Inkues di galeri awam.

“Dalam prosiding lalu, saksi itu dilihat memberikan soalan kepada Pegawai Pengendali Inkues dan perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana Dr Ahmad Hafizam adalah saksi inkues,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah menyangkal dakwaan terbabit dan Koroner Rofiah Mohamad membenarkan Dr Ahmad Hafizam yang juga saksi ke-24 inkues itu duduk bersama Pegawai Pengendali Inkues dalam prosiding hari ini.

1334 dibaca
Berita Harian X