Selasa, 16 April 2019 | 1:46pm
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop. - NSTP/Adzlan Sidek

Dua lagi suspek tahan, periksa kereta polis direman 4 hari

SEREMBAN: Dua suspek terakhir yang ditahan selepas menahan dan memeriksa kereta peronda polis (MPV) pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Sabtu lalu, direman empat hari mulai hari ini.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata dua suspek itu masing-masing ditahan di Nilai dan Rantau, kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Pemandu lori dan pekerja kilang itu akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelmarin, polis menahan tiga lelaki berusia 36 hingga 50 tahun di Rantau dan daerah ini antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

Mereka yang bekerja sebagai penjual kenderaan, pemandu lori dan peniaga ayam direman tiga hari sehingga esok.

Tindakan sekumpulan individu dipercayai penyokong sebuah parti politik itu memeriksa MPV polis di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, mendapat kritikan ramai apabila tersebar di laman sosial.

Mereka dikatakan bertindak demikian kerana mendakwa kenderaan pasukan keselamatan itu membawa lebihan kertas undi, sedangkan pihak polis hanya mengikuti kenderaan lain menuju ke pusat penjumlahan undi.

594 dibaca
Berita Harian X