Selasa, 16 April 2019 | 9:00am
Anggota polis mengusung mayat sepasang suami isteri yang ditemui mati dalam bilik di sebuah rumah di Machang Bubuk, Tasek Gelugor, semalam. - NSTP/Rosli Ahmad

Bunuh isteri dulu sebelum gantung diri

TASEK GELUGOR: Polis mengesahkan seorang wanita yang ditemui mati dalam bilik sewanya dekat sebuah rumah di Jalan Pokok Machang, di sini, pagi semalam dibunuh oleh suaminya sebelum lelaki itu bertindak menggantung diri dengan kain sari.

Ia berdasarkan laporan bedah siasat daripada Unit Patalogi terhadap mayat wanita berusia 27 tahun itu mendapati terdapat unsur lemas berkemungkinan mukanya ditekup dengan objek lembut sama ada bantal atau tuala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata selain bantal dan tuala kecil yang berada dalam mulut isteri lelaki berkenaan.

“Temubual yang dibuat pihak polis dengan tuan rumah tempat suami isteri itu menyewa memaklumkan bahawa pasangan itu pernah bergaduh, namun tidak serius.

“Adik lelaki si mati yang tinggal sekali di rumah itu juga memaklumkan perkara sama seperti yang diberitahu tuan rumah dan kali terakhir berjumpa kakak iparnya pada malam Sabtu lalu, manakala abangnya pula pada malam Ahad,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi semalam, seorang lelaki berketurunan Sikh berusia 31 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung, manakala isterinya terbaring di atas katil dengan mulut berlumuran darah.

Kejadian itu disedari tuan rumah berusia 30 tahun yang pulang ke rumahnya dari tempat kerja kerana berasa tidak sedap hati sebelum menemui pasangan berkenaan yang sudah tidak bernyawa.

Pasangan itu yang sebelum ini menetap di Bidor, Perak datang bekerja di Pulau Pinang, yang mana lelaki itu sebagai kelindan lori dan isterinya pula seorang operator kilang.

Mereka menyewa di rumah berkenaan sebulan yang lalu bersama adik lelaki si mati berusia 21 tahun.

Noorzainy berkata, waktu kematian wanita itu dianggarkan berlaku dalam tempoh di antara 24 hingga 36 jam.

“Punca dan motif mengapa suami mangsa sanggup bertindak sedemikian masih dijalankan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dapat tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

6752 dibaca
Berita Harian X