Selasa, 16 April 2019 | 12:30am
ANGGOTA bomba berjaya menjumpai dua beradik yang sesat semasa mendaki di Bukit Pelindung. - Foto ihsan bomba

Dua beradik dijumpai semula selepas lima jam sesat

KUANTAN: Dua beradik yang melakukan aktiviti riadah menggunakan laluan hutan di Bukit Pelindung, di sini, petang semalam berdepan pengalaman menakutkan apabila mereka gagal mencari jalan keluar selepas sesat selama kira-kira lima jam.

Mangsa, Norfarah Hana Derahman, 22, dan kakaknya, Norul Baiyah Derahman, 29, dikatakan masuk ke hutan berkenaan kira-kira jam 5 petang namun tidak keluar meskipun hari semakin gelap.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki memaklumkan ada dua wanita hilang dan tidak dapat dikesan ketika melakukan aktiviti riadah di Bukit Pelindung.

“Kita kemudian menggerakkan operasi mencari kedua-dua mangsa itu. Berdasarkan keterangan saksi mangsa datang ke Bukit Pelindung pada jam 5 petang dan mula memasuki laluan hutan pada jam 5.30 petang.

“Ahli keluarga sudah dimaklumkan dan cuba menelefon mangsa dan menghantar mesej menggunakan aplikasi WhatsApp namun gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Beliau berkata, pihak bomba, Persatuan Hiking Pahang, anggota polis dan ahli keluarga mangsa turut sama dalam usaha mencari kedua-dua adik beradik itu.

“Kira-kira jam 10.20 malam, pihak polis dimaklumkan kedua-dua mangsa sudah dijumpai dalam keadaan lemah dan letih. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati dua beradik itu kali pertama ke kawasan berkenaan dan mereka juga ada membawa telefon bimbit bersama namun difahamkan lokasi mangsa sesat tidak mempunyai liputan talian telefon.

“Justeru saya ingin orang ramai yang ingin melakukan aktiviti riadah di kawasan ini supaya melakukannya secara berkumpulan dan tidak terlalu lewat petang bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

1155 dibaca
Berita Harian X