Isnin, 15 April 2019 | 8:23pm

Polis serbu pusat karaoke, tahan 22 GRO warga asing

KUALA LUMPUR: Seramai 22 gadis pelayan pelanggan atau GRO warga asing ditahan selepas polis menyerbu sebuah pusat karaoke di Jalan Loke Yew di sini, malam semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam oleh Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, polis turut menahan empat lelaki tempatan termasuk seorang penjaga premis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Superintendan Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata susulan serbuan itu, seramai 47 pelanggan yang sedang berhibur di pusat karaoke terbabit turut diperiksa dan diarah menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil daripada ujian itu, tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis ketamin, kesemuanya lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 51 tahun.

“Selain itu, kita turut menahan 22 wanita warga asing terdiri daripada 18 warga China, Vietnam (tiga) dan seorang warga Korea Selatan kerana tiada permit bekerja di negara ini serta dokumen perjalanan sah.

“Siasatan mendapati kesemua mereka dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat karaoke berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dijalankan mendapati tiga GRO terdiri daripada dua warga China dan seorang warga Vietnam positif dadah jenis ketamin.

“Kesemua mereka ditahan dan dimasukkan ke lokap Balai Polis Cheras untuk tindakan lanjut.

“Penjaga premis berusia 38 tahun bersama tiga pelanggan yang positif dadah direman dua hari sehingga esok manakala 22 wanita warga asing berkenaan direman 14 hari sehingga 28 April ini,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X