Isnin, 15 April 2019 | 7:22pm
PEGUAM utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril BAdri Saali

Banyak perkara tidak didedahkan - Peguam bela Najib

KUALA LUMPUR: Pasukan peguam bela Datuk Seri Najib Razak mahu ‘mendedahkan’ maklumat yang tidak didedahkan ketika siasatan mengenai penyelewengan dana daripada SRC International Sdn Bhd.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, banyak perkara tidak didedahkan pada hari kedua perbicaraan hari ini dan berharap dapat mendedahkan lebih lanjut dalam pemeriksaan balas pengurus Bank Negara Malaysia, Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41, esok.

Muhammad Shafee dalam sidang media sebaik prosiding perbicaraan selesai, berkata apa yang boleh diberitahu hanya gambaran kasar mengenai banyaknya urus niaga di mana adakah anak guamnya mengetahui bahawa wang yang masuk dalam akaunnya adalah dari sumber haram.

“Pihak pendakwaan perlu buktikan Najib adalah sebahagian daripada konspirasi itu. Apa yang tidak ditunjukkan adalah lebih penting. Terdapat banyak dokumen di bank yang belum dikemukakan,” katanya.

Pada 4 Julai 2018, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana serupa.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

5280 dibaca
Berita Harian X