Isnin, 15 April 2019 | 6:59pm
KETUA Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin

Lelaki Myanmar edar dadah di sebalik hutan paya bakau dicekup

SUNGAI BESAR: Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai berselindung di sebalik hutan paya bakau di Sungai Limau di sini, bagi mengedar dadah kepada penagih di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu terbongkar dalam satu serbuan yang dijalankan pada jam 9.30 pagi, 13 April lalu, sebelum lelaki itu ditangkap oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan rondaan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata suspek berusia 33 tahun yang terkejut dengan kehadiran anggota PGA tidak sempat melarikan diri sebelum ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati 77 paket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 170 gram bernilai RM5,000 dan dua paket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.20 gram bernilai RM700 dijumpai dalam beg milik suspek.

“Turut ditemui, penimbang digital bersama telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM259,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan turut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain hasil ujian air kencingnya didapati negatif dadah.

Menurutnya, suspek direman selama 13 hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A (1) akta yang sama.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, polis menahan lelaki yang juga warga Myanmar dalam serbuan Ops Sarang di kawasan hutan paya bakau di Sungai Besar, pada hari yang sama.

Dalam serbuan pada jam 8.40 malam itu pihak berkuasa berjaya menahan suspek berusia 34 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Nor Azmi berkata, hasil pemeriksaan pada beg suspek menemui empat paket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 43.64 gram yang dianggarkan bernilai RM 1,300.

Menurutnya, semakan turut mendapati lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang rekod perjalanan yang sah selain hasil ujian air kencing mendapati positif dadah jenis MOP.

“Suspek direman selama 14 hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Berita Harian X