Isnin, 15 April 2019 | 5:39pm
MOHAMAD pada sidang media megenai lima individu yang memeriksa kereta peronda polis (MPV) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek

Dua suspek periksa kereta peronda polis ditahan

SEREMBAN: Polis menahan dua lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes memeriksa kereta peronda polis di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata tangkapan membabitkan lelaki berusia 20 dan 40 tahun itu masing-masing dibuat di Rantau dan Nilai jam 11 pagi tadi, katanya, susulan tangkapan itu, polis menganggap kes sebagai selesai.

“Semua lima lelaki yang dikehendaki sudah ditahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad juga meminta supaya pemilik kenderaan yang turut diperiksa lima lelaki terbabit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, untuk tmapil membuat laporan polis.

“Orang ramai, termasuk pengundi diminta tampil membuat laporan polis sekiranya diperiksa lima lelaki ini,” katanya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial kejadian lima individu memaksa dua anggota polis membuka but MPV di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, semalam, kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi.

Enggan kekecohan berlaku, dua anggota polis itu membuka but kereta dan hanya ada peti ubat serta peralatan keselamatan di dalam MPV berkenaan.

Susulan itu, polis menyifatkan kejadian jam 6 petang itu sebagai kali pertama berlaku di negara ini apabila orang awam memeriksa kenderaan polis.

728 dibaca
Berita Harian X