Isnin, 15 April 2019 | 2:59pm
Dadah yang dirampas dalam serbuan polis di Miri. - Ihsan PDRM

Sewa rumah inap desa edar dadah

MIRI: Kegiatan enam wanita dan dua lelaki yang menggunakan sebuah inap desa di sini sebagai lokasi pengedaran dadah akhirnya dapat dihidu polis apabila kesemua mereka ditahan, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, aktiviti pengedaran dadah oleh suspek berusia 25 hingga 46 tahun itu dipercayai dijalankan di sekitar rumah inap desa terbabit sejak awal Mac lalu.

“Serbuan JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak kira-kira 6.30 petang itu yang bertindak atas maklumat risikan berjaya merampas dadah dipercayai syabu seberat 213.19 gram dan 31 biji pil Erimin 5 seberat 9.77 gram.

“Keseluruhan dadah dirampas dianggarkan mencecah RM25,965 mengikut harga pasaran semasa. Dua kenderaan, iaitu kereta BMW 320i dan motosikal Yamaha R25 dengan nilai RM65,000 turut disita,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, serbuan pertama yang dilakukan di kaki lima hadapan premis inap desa terbabit berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan hasil pemeriksaan menjumpai syabu serta pil erimin 5 dalam beg silang suspek.

“Susulan penahanan suspek pertama, polis membuat serbuan serentak terhadap dua bilik berasingan di rumah inap desa itu jam 6.40 petang dan menahan tujuh lagi suspek.

“Serbuan di bilik pertama, polis berjaya menahan lima wanita termasuk seorang warga asing dan menjumpai syabu.

“Dalam serbuan di bilik kedua pula, pasukan polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan. Hasil pemeriksaan, polis menjumpai syabu dan pil erimin 5 di dalam beg silang milik suspek lelaki,” katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkenaan penyalahgunaan dadah manakala tujuh suspek lain tiada rekod.

“Kesemua suspek direman selama lima hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

151 dibaca
Berita Harian X