Isnin, 15 April 2019 | 2:34pm

Penjara 8 dan 12 tahun, akibat rancang culik menteri

PUTRAJAYA: Seorang rakyat Indonesia dikenakan hukuman penjara 12 tahun manakala dua bekas tentera masing-masing dipenjara lapan tahun, selepas didapati bersalah kerana berkomplot mempromosikan keganasan.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan Panel Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabidin Mohd Diah dan Datuk Has Zanah Mehat.

Hukuman penjara terhadap warga Indonesia, Ali Saifuddin, 32, dan bekas anggota tentera, Nor Azmi Jailani, 32 dan Mohd Yusri Mohamed Yusof, 33, berkuatkuasa daripada tarikh tangkap pada 5 April 2015.

Sebaik keputusan dibacakan Vernon, ketiga-tiga tertuduh bertindak melakukan sujud syukur di luar kandang pesalah.

Tindakan itu menyebabkan sebahagian ahli keluarga yang hadir mengalir air mata dan berpelukan bersama.


Sebahagian ahli keluarga tertuduh hadir bagi pendengaran keputusan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Sebelum ini, menurut bukti yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, Ali dan Nor Azmi serta Mohd Yusri dikatakan terbabit di dalam beberapa siri perbincangan dengan anak seorang militan Daesh mengenai rancangan menculik empat bekas menteri termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Tiga lagi menteri yang disasarkan ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pada 8 April lalu, ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan di sini kerana berkomplot mempromosikan keganasan.

Sebelum itu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membebaskan ketiga-tiga tertuduh daripada kesalahan itu.

Dalam keputusannya, Vernon berkata bukti yang diberikan oleh ketiga-tiga lelaki tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zin Ibrahim dan Muhammad Azmi Mashud memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai isyarat bahawa kesalahan ideologi adalah serius.

Di luar mahkamah, peguam mewakili tertuduh, Liaw Vern Xien, Farida Mohammad, Qurratulain Atiqah Norzahirul Anuar ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya bercadang untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman diputuskan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat.

Pada 16 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan kesemua tertuduh daripada dakwaan berkomplot mempromosi aktiviti berkaitan keganasan di Malaysia, antara 30 Januari hingga 6 April 2015 di sebuah rumah di Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(1) kanun yang sama iaitu boleh dipenjarakan sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berita Harian X