Isnin, 15 April 2019 | 12:43pm

Kes periksa MPV polis: 3 suspek direman 3 hari

SEREMBAN: Tiga suspek berhubung kes memeriksa kereta peronda polis (MPV) di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, Sabtu lalu, direman tiga hari bagi membantu siasatan

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata perintah reman itu dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, bermula hari ini hingga Rabu.

Katanya, ketiga-tiga lelaki berusia 36 hingga 50 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Beliau berkata, suspek yang masing-masing bekerja sebagai penjual kereta, pemandu lori dan peniaga ayam, ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang semalam di tiga lokasi berasingan di daerah ini.

“Kami berjaya menahan tiga suspek dan sedang menggiatkan usaha memburu dua lagi yang masih bebas,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Dalam pada itu, ketiga-tiga suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi tadi dengan berpakaian baju lokap berwarna jingga dan bergari.

Sebelum ini, tular dalam media sosial kejadian lima individu memaksa dua anggota polis membuka but MPV di hadapan pusat mengundi terbabit kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi.

Enggan kekecohan berlaku, dua anggota polis itu membuka but kereta dan hanya ada peti ubat serta peralatan keselamatan di dalam MPV berkenaan.

Susulan itu, polis menyifatkan kejadian jam 6 petang itu sebagai kali pertama berlaku di negara ini apabila orang awam memeriksa kenderaan polis.

2975 dibaca
Tiga lelaki ditahan kerana memeriksa kereta peronda polis (MPV) di SJKC Chung Hua, Rantau, direman tiga hari bagi membantu siasatan. - NSTP/Hasriyashah Sabudin
Berita Harian X