Isnin, 15 April 2019 | 8:49am
Hari kedua prosiding pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Perbicaraan Najib bersambung pagi ini

KUALA LUMPUR: Puluhan pengamal media tempatan dan luar negara mula memenuhi pekarangan serta lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, bagi mengikuti hari kedua prosiding pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Prosiding kes berprofil tinggi itu adalah berkaitan tujuh pertuduhan dihadapi bekas Perdana Menteri itu membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Pengamal media dilihat mulai hadir kira-kira jam 7.30 pagi, manakala prosiding perbicaraan dijangka bermula pada jam 9 pagi.

Bagi melancarkan urusan liputan media, mahkamah mengeluarkan beberapa pas kepada wakil media tempatan dan antarabangsa bagi mengikuti prosiding itu.


Sebahagian pihak media beratur bagi mendapatkan pas liputan perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Dalam pada itu, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan kawalan keselamatan di pekarangan Kompleks Mahkamah untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Setakat jam 8.15 pagi tadi, belum kelihatan kumpulan penyokong Najib yang hadir bagi memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Perbicaraan kes bermula 3 April lalu dengan Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC International.


Petugas media diperiksa oleh anggota keselamatan sebelum memasuki Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk liputan perbicaraan Najib, pagi ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kronologi perbicaraan hari ini

7.40 pagi - Pengamal media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul bagi mendapatkan pas kebenaran masuk ke mahkamah.

8.45 pagi - Pengamal media dibenarkan memasuki mahkamah dan bilik rangkaian video.

8.53 pagi - Peguam Negara, Tommy Thomas, hadir bagi memulakan hari kedua perbicaraan kes berhubung dana SRC International yang dihadapi Najib.

8.57 pagi - Barisan pihak pembelaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, tiba di Mahkamah Tinggi.

8.59 pagi - Galeri awam mula dipenuhi wartawan dan orang awam yang hadir untuk mendengar prosiding perbicaraan.

1339 dibaca
Berita Harian X