Ahad, 14 April 2019 | 6:45pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - NSTP/Faiz Anuar

Tindakan disiplin jika individu periksa MPV ahli PKR

KUALA LUMPUR: PKR akan mengambil tindakan disiplin terhadap sekumpulan individu yang bertindak memeriksa kereta peronda polis (MPV) di Rantau, semalam, jika mereka adalah ahli parti itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PKR tidak akan mempertahankan tindakan kumpulan terbabit yang disifatkan sebagai budaya samseng dan melanggar undang-undang.

Katanya, PKR sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membantu siasatan berhubung insiden di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu.

“Tindakan individu itu adalah melampau dan mengganggu penjawat awam terutama pihak berkuasa yang sedang bertugas, dan PKR akan segera memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam menyiasat kejadian ini.

“PKR juga akan segera mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya sekiranya dibuktikan bahawa individu yang terbabit adalah anggota parti ini.

“PKR tegas menolak sebarang budaya samseng dan tindakan melampaui batas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, lima lelaki memaksa dua anggota polis membuka but MPV di hadapan pusat mengundi di SJKC Chung Hua di Rantau, kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian.

Enggan kekecohan berlaku, dua anggota polis itu membuka bonet kereta dan hanya terdapat peti ubat dan peralatan keselamatan di dalam MPV berkenaan.

Polis menyifatkan kejadian jam 6 petang semalam sebagai tindakan pertama kali berlaku dalam negara ini apabila orang awam memeriksa kereta polis.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, dilaporkan berkata, dua daripada lima lelaki yang disyaki memeriksa MPV itu diberkas polis, hari ini.

2154 dibaca
Berita Harian X