Ahad, 14 April 2019 | 5:50pm
PEMANGKU Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador. - NSTP/Hafiz Sohaimi

'Jangan ambil tindakan luar batasan undang-undang'

KUALA LUMPUR: Kes sekumpulan lelaki memaksa dua anggota polis membuka but kereta peronda polis (MPV) di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, semalam di siasat mengikut Seksyen 186 dan 341 Kanun Keseksaan.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan berkenaan.

“Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya.

“Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi Seksyen 341 Kanun Keseksaan iaitu menghalang seseorang dengan salah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Kumpulan lelaki membuat pemeriksaan ke atas MPV kerana menyangkakan anggota polis terbabit membawa lebihan kertas undi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Sehubungan itu, Abdul Hamid menasihatkan orang awam untuk tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dengan menghalang mana-mana penjawat awam menjalankan tugas rasmi mereka.

“Laporkan kepada pihak polis jika terdapat sebarang maklumat yang menjurus kepada pelanggaran undang-undang dan jangan sesekali mengambil tindakan di tangan sendiri,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki dipercayai penyokong sebuah parti politik menahan dan memeriksa MPV di hadapan pusat mengundi di SJKC Chung Hua.

Kejadian berlaku ketika dua anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau sekitar jam 6 petang.

Ketika kejadian, kenderaan polis dinaiki mereka didatangi lima lelaki yang meminta supaya membuka but kenderaan itu kerana mengesyakinya membawa kertas lebihan undi.

Anggota polis itu membuka but kenderaan kerana tidak mahu berlaku sebarang kekecohan berikutan jumlah penyokong yang ramai ketika itu.

Kumpulan lelaki itu kemudian mendapati tiada sebarang kertas lebihan undi dalam but kenderaan polis sebelum meminta maaf kepada anggota polis berkenaan.

2079 dibaca
Berita Harian X