Ahad, 14 April 2019 | 4:35pm
PEMANGKU Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop. - NSTP/Adzlan Sidek

TERKINI: Dua daripada lima suspek periksa MPV polis ditahan

SEREMBAN: Dua daripada lima lelaki yang disyaki memeriksa sebuah kereta peronda polis (MPV) di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, semalam diberkas polis, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata mereka ditahan jam 12 tengah hari di lokasi berasingan.

Katanya, suspek pertama yang bekerja sebagai jurujual kenderaan berusia 52 tahun, diberkas di daerah ini, manakala pemandu lori berusia 36 tahun ditahan di Rantau.

“Polis giat memburu tiga lagi suspek yang masih bebas kerana menghalang tugas penjawat awam. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Polis menyifatkan kejadian jam 6 petang semalam sebagai tindakan pertama kali berlaku dalam negara ini apabila orang awam memeriksa kereta polis.

MPV itu hanya mengikuti sebuah kenderaan lain yang membawa kertas undi sebelum berhenti di luar pagar bagi mengawal lalu lintas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Kemudian lima lelaki datang mendakwa polis membawa lebihan kertas undi dan sebaik bonet MPV dibuka, hanya peti ubat dan kon keselamatan ditemui.

4202 dibaca
Berita Harian X