Sabtu, 13 April 2019 | 4:23pm
ANTARA mangsa yang mengalami sesak nafas ketika kebakaran sebuah hotel di Danok semalam. NSTP/Ihsan Pembaca

Kebakaran: 5 rakyat Malaysia masih dirawat, 1 cedera serius

SONGKHLA: Seramai lima rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian kebakaran sebuah hotel di Danok semalam, masih menerima rawatan lanjut, seorang daripadanya alami kecederaan serius.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar, berkata ketika ini ada tiga warga Malaysia dirawat di Hospital Hatyai dan dua di Hospital Songkhla.

Katanya, salah seorang rakyat Malaysia yang dirawat di Hospital Songkhla berada dalam keadaan serius, manakala empat lagi sudah stabil.

“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sudah ke hospital terbabit bagi bertemu mangsa dan berhubung dengan wakil keluarga atau rakan mangsa.

“Seramai 15 rakyat Malaysia menerima rawatan semalam dan 10 daripada mereka sudah dibenarkan pulang,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 8 pagi semalam (7 pagi waktu Thailand), semua rakyat Malaysia yang pergi ke negara itu bagi menyambut Pesta Songkran dikatakan sedang tidur sebelum api mula merebak di tingkat bawah hotel.

Pihak pengurusan hotel dikatakan sempat mengarahkan semua pelanggan keluar dari bangunan, namun terdapat beberapa penghuni terperangkap di tingkat atas.

Penghuni terbabit dilaporkan terpaksa terjun dari tingkat atas hotel menyebabkan mereka cedera selain sesak nafas.

Berita Harian X