Sabtu, 13 April 2019 | 12:34pm
Keadaan Perodua Myvi yang remuk selepas merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 397 LPT2 arah Bukit Besi ke Ajil, malam tadi. - Ihsan PDRM

Kereta rempuh lori, tiga pemuda nyaris maut

KUALA BERANG: Tiga pemuda nyaris maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 397 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Bukit Besi-Ajil di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.26 malam, tiga mangsa, Muhammad Hafiz Ilman Khalib,26; Adeeb Adam Maini, 21, dan Muhammad Faqrul Ikwan Zulkarnain,20, dari Dungun bagaimanapun hanya cedera ringan.

Pemandu lori jenis Mitsubishi Fuso, Mohazer Jaafar, 45, dari Kuala Ketil, Kedah, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori terbabit dalam perjalanan dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil.

“Bagaimanapun, sebaik sampai di tempat kejadian, lorinya tiba-tiba dirempuh dari arah belakang.

“Akibat kejadian itu, pemandu dan dua penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan termasuk luka pada muka, sakit pinggang dan leher,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, tiga mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Berita Harian X