Jumaat, 12 April 2019 | 9:02pm
Suria Awi.

Wanita lemas ketika mandi Gunung Sarut

PERMAISURI: Seorang wanita ditemui lemas selepas tergelincir ketika mandi di ‘Blue Pool’ Gunung Sarut, berhampiran Lata Payung, Sungai Tong, Setiu, pagi tadi.

Sebelum kejadian, mangsa, Suria Awi, 46, yang beralamat di Panji Alam, Kuala Terengganu bersama 15 lagi rakan terdiri dari 10 perempuan dan lima lelaki mendaki Gunung Sarut sekitar jam 8 pagi melalui kawasan Air Terjun Lata Payung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, kumpulan itu mandi di kawasan berkenaan sebelum mula bersiap untuk pulang jam 11.40 pagi.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang baru selesai mandi mahu naik untuk bersiap pulang, tetapi tergelincir sebelum terjatuh ke dalam air dan lemas.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 12.06 tengah hari sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama lapan anggota serta seorang pegawai perubatan.

“Sewaktu tiba di lokasi, mangsa sudah dalam perjalanan dibawa turun oleh beberapa rakannya dan mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut bersama kita.

“Anggota bomba kemudian mengusung mayat mangsa untuk dibawa turun,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mustafa berkata, jarak antara ‘Blue Pool’ ke Lata Payung mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan dengan mendaki melalui laluan hutan.

“Operasi mengambil masa satu jam 15 minit kerana hujan lebat, permukaan jalan licin serta sempit sekaligus menyukarkan kerja membawa mayat mangsa turun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.

951 dibaca
Berita Harian X