Jumaat, 12 April 2019 | 10:49am
GAMBAR fail, Nadin Junianti Najiri, 25, melihat gambar suaminya bersama tiga anak dan ibu mertuanya, Zuana Laudiato, 54, ketika ditemui di rumah mereka di penempatan setinggan berhampiran Sim-Sim, di Sandakan, 10 Februari lalu. - Foto Poliana Ronnie Sidom
Jenazah mangsa culik, Jari Abdullah dibawa ke Surau Al Furqan untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim di Sandakan. - Foto Poliana Ronie Sidom
Nadin Junianti Najiri bersama anaknya sambil diperhati Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Ariffin Asgali (dua dari kiri) menyiram air pada kubur suaminya, Jari Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim di Sandakan. - Foto Poliana Ronie Sidom

'Kami relakan pemergiannya'

SANDAKAN: “Kami relakan pemergiannya,” kata Zuana Laudiato, 54, ibu mangsa culik, Jari Abdullah yang mati ditembak oleh kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina, minggu lalu.

Zuana berkata, mereka mengetahui keadaan arwah yang bertarung nyawa dengan alat bantuan pernafasan selepas dihubungi pihak berkuasa pada minggu lalu yang memaklumkan mengenai kejadian tembakan itu.

Katanya, dia bersama anak bongsunya kemudian diterbangkan ke Zamboanga, Filipina dan diiringi wakil Kementerian Luar untuk berjumpa dengan mangsa dan memberi kebenaran bagi membuka alat bantuan pernafasan yang disambungkan kepada mangsa.

“Arwah sudah tiada sejak Khamis lalu, cuma disambung oksigen. Apa boleh buat, itulah ajalnya... kami relakan saja,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Furqan, Kampung Sim-Sim, di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah mangsa yang tiba di Lapangan Terbang Sandakan dengan pesawat Malaysia Airlines pada jam 7.50 pagi disambut kira-kira 30 ahli keluarga dan pasukan keselamatan, sebelum dibawa ke Surau Alfurqan untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim, kira-kira jam 9.30 pagi.

Pada 4 April lalu, Jari dilaporkan parah selepas terkena tembakan di dada dan kepala ketika menyelamatkan diri daripada tebusan kumpulan Abu Sayyaf dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina di Pulau Simusa, Sulu.

Dalam kejadian itu, rakannya, Heri Ardiansyah, 19, dapat diselamatkan, manakala seorang lagi, Hariadin, 45, dilaporkan lemas ketika cuba berenang menyelamatkan diri dan mayatnya ditemui di perairan berhampiran pulau berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa diculik kumpulan itu ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, dekat sini pada 6 Disember lalu.

Sementara itu, isteri arwah, Nadin Junianti Najiri, 25, berkata dia kini keliru memikirkan untuk membesarkan tiga anaknya yang masih kecil iaitu Jafran Abdullah berusia setahun, Jefri Yadim Najrun, 5, dan Jennyanti, 7.

Katanya, Jennyanti sehingga kini masih belum dapat menerima hakikat kehilangan bapanya, sebaliknya sehingga pagi tadi masih menaruh harapan bapanya pulang dengan selamat.

“Saya berpuas hati dapat lihat jasadnya. Saya sekarang cuma mahu fikir bagaimana mahu sekolahkan tiga anak saya. Anak bongsu tidak sempat urus surat lahir, dia (Jari) sudah tiada,” katanya.

Turut hadir pada upacara pengebumian itu adalah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ariffin Asgali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong.

Ketika ditemui, Ariffin berkata, kerajaan negeri akan melihat keperluan keluarga mangsa dan menghulurkan bantuan sewajarnya untuk meringankan beban mereka.

475 dibaca
Berita Harian X