Khamis, 11 April 2019 | 7:28am

Pemancing dikhuatiri lemas tergelincir dalam sungai

TEMERLOH: Pemancing dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama beberapa rakannya di kawasan Kampung Gantuk, Mentakab, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.39 malam itu, mangsa Mohd Badli Izam Said Mohammad, 31, dikatakan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai sebelum sempat diselamatkan tiga rakannya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata tiga rakan mangsa yang turut bersamanya ketika itu tidak dapat menyelamatkan lelaki berkenaan di sebabkan keadaan sungai yang berpusar.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab dikerahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian di sekitar sungai. Pihak polis dan orang awam turut membantu mencari mangsa.

“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin turut dikerahkan ke lokasi bagi mengesan mangsa menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat terpaksa ditangguhkan pada jam 12 tengah malam dan disambung pada jam 8 pagi ini.

Katanya, operasi mencari mangsa akan diperluaskan termasuk menggunakan beberapa aset bomba seperti bot dan memperluaskan kawasan pencarian dan selaman.

396 dibaca
Berita Harian X