Rabu, 10 April 2019 | 5:50pm
PROFESOR Dr Shahrom Abd Wahid (kiri) ketika hadir untuk prosiding inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Rusuk belakang Adib tidak diperiksa - Saksi

SHAH ALAM: Saksi ke-29 prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim berpendapat kepatahan tujuh rusuk kiri belakang anggota bomba itu tidak diperiksa sepanjang beliau menerima rawatan.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dahulunya, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) Prof Dr Shahrom Abd Wahid berkata, ia berikutan tiada laporan berkenaan perkara itu dan hanya disedari selepas bedah siasat mayat dilakukan pada 18 Disember lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berikutan itu, Dr Shahrom berpandangan tiada sesiapa yang memeriksa bahagian belakang badan mangsa.

“Saya rasa tiada sesiapa (kakitangan Subang Jaya Medical Centre) pun yang tengok di belakang (badan) itu.

“Kemudian, apabila buat rawatan seterusnya (di Institut Jantung Negara ), saya rasa tak ada sesiapa pun yang tengok di situ.

“Terbalikan (mangsa) pun mungkin tak ada sesiapa yang tengok. Kalau ada pun, mungkin tidak dilaporkan sebab tak tahu sama relevan atau tak kecederaan itu,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-24 prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Dalam prosiding sama, Dr Shahrom yang juga Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom turut menjelaskan secara terperinci, bagaimana tulang rusuk depan dan belakang anggota bomba itu mengalami kepatahan berdasarkan teorinya.

Saksi itu berkata, kepatahan empat rusuk kanan bahagian hadapan diperoleh akibat hentakan hujung sisi pintu penumpang hadapan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang tumpul dan nipis.

Tujuh rusuk kiri belakang yang patah pula disebabkan hentakan badan Muhammad Adib pada jenang (rangka) pintu van sama.

“Dua tulang rusuk belakang kanan patah disebabkan ada otot yang melindungi tulang spatula.

“Jadi, Muhammad Adib menerima impak yang sama dengan hadapan tetapi ditahan otot dan tulang spatula.

“Daya sampai ke situ kurang berbanding diterima rusuk hadapan dan sebab itu hanya dua sahaja patah,” katanya.

Sementara itu, Dr Shahrom dalam keterangannya pada sesi pagi, berkata beliau tidak terbabit secara langsung dalam insiden itu tetapi dijemput oleh peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor untuk membantu melihat melalui sudut pandangannya sebagai saksi pakar.

Justeru, katanya, setiap keterangan dan hasil dapatan yang dibentangkan dalam mahkamah adalah berasaskan kepada sumber material, dokumen dan rekontraksi yang diselia olehnya dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat.

“Saya tidak pergi ke lokasi kejadian untuk membuat lakonan semula atau rekontraksi tetapi ia dibuat di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan Rawang.

“Eksperimen membaling topi keledar untuk memecahkan cermin belakang dan sisi van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dirakam (lakon semula) di Balai Bomba dan Penyelamat Rawang pada 6 April lalu,” katanya.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

790 dibaca
Berita Harian X