Rabu, 10 April 2019 | 8:54am
Pekerja asing yang bersembunyi di sebalik papan bagi mengelak ditahan anggota Imigresen dalam Ops Mahir di sebuah tapak pembinaan di Bukit Selambau, semalam. - Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia

Sanggup sembunyi bawah papan takut dicekup

SUNGAI PETANI: Hanya kerana takut ditahan pihak berkuasa, dua pekerja warga Bangladesh dan Myanmar sanggup bersembunyi di bawah timbunan papan sebelum ditahan anggota Imigresen.

Lelaki berusia 30-an dan 40-an itu antara 61 pekerja asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu (Ops Mahir) di sebuah tapak pembinaan di Bukit Selambau, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi bermula 11.20 pagi sehingga 1.30 petang itu, pihaknya turut menahan 46 lelaki dan dua wanita warga China, tujuh lelaki warga Bangladesh dan empat lagi warga Myanmar.

“Semasa operasi, ada lagi beberapa pekerja asing yang lari dan bersembunyi di celahan bahan binaan, namun anggota kita dapat mencari dan menahan mereka.

“Kita dapati warga China yang ditahan ini masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial iaitu sebagai pelancong. Mereka yang bekerja di tapak pembinaan ini kebanyakannya mengendali mesin dan jentera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, dalam operasi itu seramai 75 pekerja asing diperiksa namun hanya 61 sahaja yang ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya semua pekerja asing berusia antara 24 hingga 60 tahun itu ditahan mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

“Selain itu mereka turut ditahan selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa.

“Semua mereka ditahan di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen, Belantik, Sik,” katanya.

Berita Harian X