Selasa, 9 April 2019 | 7:02pm
JARI Abdullah

Jari Abdullah meninggal dunia

SANDAKAN: Rakyat Malaysia, Jari Abdullah yang diculik kumpulan Abu Sayyaf, 6 Disember lalu, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di bandar Zamboanga, Selatan Filipina, tengah hari tadi.

Mangsa berusia 34 tahun menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Zuana Laudianto, 54, jam 1.30 tengah hari.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan perkara itu.

“Saya ada menerima laporan tengah hari tadi.

“Mangsa sudah meninggal dunia dan urusan membawa balik jenazah diatur pihak Kementerian Luar Malaysia,” katanya.

Difahamkan, Jari parah selepas terkena tembakan di kepala dan dada ketika menyelamatkan diri daripada menjadi tebusan kumpulan Abu Sayyaf, pada 4 April lalu, di Pulau Simusa, Sulu.

Mangsa kemudiannya ditemui pasukan keselamatan Filipina sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut sejak lima hari lalu.

Dua rakannya, warga Indonesia yang turut diculik berjaya ditemui pasukan keselamatan.

Bagaimanapun Hariadin, 45, dilaporkan lemas manakala Heri Ardiansyah, 19, selamat.

Terdahulu, pada 6 Disember lalu, mereka bertiga yang sedang memukat ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan, diculik kumpulan Abu Sayyaf.

4000 dibaca
Berita Harian X