Isnin, 8 April 2019 | 7:07pm
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh. - Foto BERNAMA

Siasat jika ada polis yang terbabit dalam sindiket dadah di Ulu Tiram, Johor

DUNGUN: Polis masih menyiasat sama ada terdapat pegawai dan anggotanya terbabit dalam sindiket pengedaran dadah susulan rampasan syabu terbesar di Ulu Tiram, Johor, bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata inspektor polis berusia 30-an yang ditahan Jumaat lalu itu dipercayai baru dua bulan terbabit dalam sindiket berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pegawai polis yang ditahan itu menyumbang kepakarannya dalam membantu sindiket itu.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam salah laku jenayah. Sesiapa saja yang didapati bersalah tidak akan dilepaskan dan akan dibawa ke muka pengadilan.

“Ini bukan saja membabitkan kesalahan dadah, sebaliknya termasuk kesalahan lain seperti samun, pecah rumah dan keganasan rumah tangga kerana kita ada undang-undang,” katanya selepas merasmikan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Pantai Timur di Rantau Abang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Nerita Yaacob dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Mohmad berkata anggota terbabit boleh dikenakan tindakan tatatertib, pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Saya sudah mengarahkan semua pegawai dan anggota supaya tidak terbabit dengan sindiket pengedaran dadah, rasuah dan sebagainya sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan,” tegas beliau.

Ditanya jumlah anggota polis yang dikenakan tindakan, Mohmad berkata angka itu dilihat kecil berbanding 135,000 anggota yang ada.

“Pembabitan mereka ini akibat desakan keluarga, tekanan dan sebagainya sehingga mempengaruhi mereka melakukan kerja yang salah di sisi undang-undang,” katanya.

Pada 19 Mac lalu, polis merampas 2.06 tan syabu bernilai RM103.2 juta di Ulu Tiram, Johor yang disifatkan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jumaat lalu, seorang inspektor turut ditahan di rumahnya di Johor Bharu bagi membantu siasatan berhubung rampasan syabu yang disembunyikan dalam 2,000 bungkusan teh Cina Guanyingwang, dalam sebuah kontena di ladang sawit Hulu Tiram.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohmad Salleh berkata menyorokkan dadah di badan dan dalam ruang khas bagasi antara taktik paling popular digunakan pengedar yang menyeludup dadah ke negara ini, namun semuanya dapat dihidu pihak polis.

"Dalam kejadian terbaru, kita mengesan dadah dalam bungkusan tertulis 'boarding pass' syarikat penerbangan, malah ada dadah diseludup dalam bentuk cecair sebelum dijemur dan dikeringkan.

“Dadah jenis methamphetamine, syabu, ice dan eramin 5 antara yang paling popular di negara ini tetapi dadah tradisional seperti candu, ganja, heroin serta air ketum juga masih digunakan penagih di Malaysia," katanya.

Berita Harian X