Isnin, 8 April 2019 | 3:48pm
PEMANDU, kelindan trak tunda maut dalam satu kemalangan di Kilometer 222.5 Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan. - NSTP/Ihsan Bomba

Pemandu trak tunda, kelindan maut

KUANTAN: Seorang pemandu trak tunda dan kelindannya maut selepas kenderaan mereka merempuh belakang lori membawa muatan benih nanas di Kilometer 222.5 Lebuhraya Pantai Timur, dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi di laluan dari Kuala Lumpur menghala Kuantan itu, Muhammad Asrul Yatim, 22, bersama kelindannya, Lum Wai Kit, 22, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata siasatan di lokasi kemalangan mendapati, trak berkenaan sedang menunda sebuah Toyota Avanza sebelum melanggar lori yang diletakkan di lorong kecemasan akibat rosak.

“Kemalangan turut mengakibatkan pemandu Toyota Avanza, Mohd Zailani Md Dak, 41, patah paha kanan dan kiri, manakala pemandu dan kelindan lori yang rosak itu pula cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan nahas disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X